Saturday, June 30, 2007
Panduan Menjadi Ibu Bapa Cemerlang
Description
Sinopsis
Buku yang patut dibaca oleh ibu bapa yang ingin cemerlang supaya berjaya melahirkan anak yang cemerlang.
Tugas sebagai ibu bapa bukanlah mudah, terutama di zaman sains dan teknologi, zaman manusia mengejar kemewahan dan kebendaan. Masa dan zaman akan berubah, namun manusia tetap sama iaitu dilahirkan dalam keadaan tiada seurat benang pun dan berakhir di liang lahad.
Ibu bapa yang berjaya menjadi cemerlang melahirkan generasi cemerlang kerana ibu bapa adalah guru pertama kepada anak-anak. Apabila ibu bapa gagal menjadi cemerlang, mereka bukan sahaja gagal menjadi ibu bapa yang baik dan sempurna, malah melahirkan anak-anak yang tidak berilmu dan berwawasan.
Pada masa ini, lahir pelbagai gegala sosial seperti persetubuhan tanpa nikah, bohsia dan bohjan, vandalisme, jenayah seawal usia persekolahan dan pelbagai lagi masalah yang timbul terutama di zaman globalisasi ini. Ibu bapa kini bukan sahaja disibukkan dengan tugas mencari rezeki, malah perlu menjadi suami dan isteri, perlu mendidik dan membesarkan anak-anak. Masa yang kian terbatas menyebabkan ramai ibu bapa gagal menjadi cemerlang.
Semoga dengan lahirnya buku ini akan menambahkan ilmu pengetahuan kepada ibu bapa dan yang bakal bergelar ibu bapa. Semoga semua ibu bapa yang berada di negara Malaysia tercinta ini menjadi ibu bapa cemerlang demi melahirkan anak-anak berilmu, berketerampilan, berakhlak dan berwawasan.
Ibu bapa cemerlang adalah matlamat semua ibu bapa. Jika ingin menjadi ibu bapa yang cemerlang, ibu bapa mesti memiliki pelbagai cabang ilmu pengetahuan, kemahiran mendidik, memahami psikologi dan tingkah laku manusia, kesabaran dan lain-lain. Memang bukan mudah mahu menjadi ibu bapa cemerlang namun dengan usaha memperbanyakkan ilmu, mengkaji kesalahan dan kesilapan, dengan izin Tuhan kita pasti berjaya menjadi ibu bapa cemerlang dan seterusnya menjadi role model kepada anak-anak untuk mewarisi kecemerlangan.
Manusia maju dengan ilmu, oleh demikian buku ini menambahkan lagi ilmu keibubapaan supaya kita berjaya menjadi ibu bapa cemerlang. Buku ini hanya mampu memberi jalan dan ikhtiar, kitalah yang akan mencorakkan diri kita. Semoga panduan dan idea yang akan dipaparkan nanti akan memberi jalan untuk berubah menjadi lebih cemerlang dan terus cemerlang.
ISBN: ISBN 983-3372-84-8
Writer: Saat Sulaiman,
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment