Saturday, June 30, 2007

Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden

Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden - Edisi Kedua

Description
Sinopsis

Para pendakwah Islam bekerja kuat menarik minat remaja bukan Islam supaya masuk Islam. Pada waktu yang sama mereka berusaha menguatkan keyakinan remaja Islam bahawa agama yang diterima daripada ibu bapa adalah agma yang dapat dibanggakan. Buku ini membekalkan para pendakwah Islam dengan bahan-bahan yang dapat mempengaruhi golongan remaja berpendidikan moden.

Saya bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan saya menyiapkan buku ini untuk tatapan umum. Perkara yang telah merangsang saya untuk melakukan kajian dan kemudian menulis buku ini ialah pengalaman dakwah yang sempat saya harungi di samping serangan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terhadap Islam. Serangan-serangan itu berjaya mempengaruhi segelintir umat Islam terutamanya dari kalangan remaja-remaja, sehingga akhirnya mereka membenci dan mencemuh Islam. Para pendakwah masa kini pula tidak mempunyai bahan-bahan semasa yang mencukupi untuk membantu mereka menangani masalah ini.

Pengalaman saya menunjukkan umat Islam hari ini memerlukan ilmu-ilmu baru berhubung Islam. Mereka ingin Islam diperlihatkan sebagai agama yang unggul, maju, moden lagi saintifik, sesuai dengan arus pemikiran yang sedang melanda dunia hari ini. Mereka ingin berasa bangga dengan Islam.

Secara dasarnya, syariat Islam akan terus berkembang dan masalah baru akan muncul menggantikan masalah lama dan kesemua ini memerlukan ilmu dan ijtihad untuk menyelesaikannya. Perubahan zaman kadangkala memerlukan perubahan hukum. Sesuatu hukum ranting yang sesuai dilaksanakan suatu ketika dahulu mungkin sudah tidak sesuai lagi untuk dilaksanakan pada hari ini.

Kaedah fikah ada menyatakan, “Perubahan fatwa dan perbezaan pendapat tentangnya boleh berlaku disebabkan oleh perubahan zaman, tempat, suasana, niat dan adat”. Profesor Dr. Yusuf Qardawi di dalam al-Ijtihad fi asy-Syariat al-Islamiah berpendapat, banyak perubahan besar telah berlaku di dalam bidang sosial, ekonomi, politik dan budaya pada abad ini. Hal ini menuntut seseorang fakih menganalisis pendapat-pendapat yang diutarakan sebelum ini dan menolak mana-mana pendapat yang sudah tidak sesuai lagi dengan keadaan dan situasi yang wujud pada hari ini.

Dakwah pada hari ini memerlukan suntikan baru berlandaskan prinsip lama berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Zaman teknologi maklumat mendedahkan kita kepada maklumat yang pelbagai. Maklumat-maklumat ini perlu dimanfaatkan untuk berdakwah terutamanya di sudut fikah perbandingan.

Dengan perbandingan masyarakat akan dapat melihat secara jelas kelebihan dan keunggulan Islam. Aspek penyelidikan dan pembangunan perlu dirancakkan agar dakwah Islam sentiasa cukup dengan bahan dan maklumat terkini. Kita terpaksa akui, umat Islam amat ketinggalan di dalam aspek ini kerana sikap mudah berpuas hati dengan apa yang ada.

Saya menganggap buku ini sebagai peluru dan penangkis dalam menghadapi serangan-serangan musuh dari segenap penjuru pada hari ini. Isi-isinya telah saya olah agar dapat diguna pakai oleh segenap lapisan masyarakat. Buku ini akan lebih berkesan sekiranya dijadikan bahan perbincangan di dalam study group, usrah, kelas-kelas pengajian dan program-program pengukuhan serta motivasi diri.

ISBN: ISBN 983-192-230-1
Writer: Danial Zainal Abidin,

No comments: