Thursday, July 12, 2007

NASIHAT AL-GHAZALI BAGI MENCAPAI KEBAHAGIAAN DUNIA & AKHIRAT

WAHAI ANAKKU:

Antara nasihat Rasulullah s.a.w. kepada umatnya :

“Tanda Allah membenci seseorang hamba-Nya, dia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya . Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan dalam ibadah, pasti membuatkan manusia menyesal pada kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umur 40 tahun, sedangkan amalan kebaikan terlalu sedikit dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka.”

WAHAI ANAKKU:

Memberi nasihat sememangnya mudah, yang sukar ialah untuk menerimanya. Nasihat amat pahit bagi manusia yang mengikut hawa nafsu. Mereka lebih senang dengan perkara-perkara yang terlarang. Ada manusia yang menganggap ilmu yang ada sudah memadai untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Oleh itu tidak perlu lagi beramal dengan ilmu yang ada. Sebenarnya ini adalah pandangan sesat ahli-ahli fasafah. Subhanallah! Tidakkah mereka tahu orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya itu maka ilmu sendiri akan mendakwanya di akhirat nanti?

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Manusia yang paling teruk diazab pada hari kiamat ialah orang yang berilmu tetapi tidak memanfaatkan ilmunya.”

WAHAI ANAKKU:

Beramallah dengan ilmu yang ada. Yakinlah bahawa ilmu tanpa amal tidak akan menyelamatkan kamu di akhirat. Bayangkan seorang lelaki gagah yang masuk ke dalam hutan, membawa bersama-samanya berjenis- jenis senjata. Apakah kau fikir senjatanya dapat menyelamatkan dirinya sekiranya ia tidak mengangkat dan menggunakan senjata tersebut? Jelas sekali senjata tadi tidak berguna kalau tidak digunakan. Begitulah keadaan seseorang yang membaca dan mengetahui banyak perkara, tetapi tidak langsung menggunakannya pengetahuannya tadi. Ilmunya tidak akan memberi manfaat, tanpa dia sendiri beramal dengan ilmu tersebut.

WAHAI ANAKKU :

Islam terbina atas lima perkara, pengakuan bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa Ramadhan dan mengerjakan haji bagi sesiapa yang berkuasa. Iman bermaksud melafazkan dengan lidah, mengaku dengan hati seterusnya beramal dengan seluruh anggota. Selagi kamu tidak beramal maka selagi itu kamu tidak akan beroleh pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa merendah diri dan beramal sebagai bekalannya selepas mati. Orang yang bodoh pula ialah orang yang mengikut hawa nafsu dan mengharap-harap kebaikan daripada Allah tanpa usaha.”

WAHAI ANAKKU:

Berapa banyakkah malam yang kamu penuhi dengan bersengkang mata menelaah kitab, tanpa mengetahui apakah niatmu yang yang mendorong kamu berbuat demikian? Sekiranya niatmu hanya untuk mendapatkan kesenangan dunia dan sanjungan manusia, maka celakalah kamu. Tetapi sekiranya niatmu untuk menghidupkan syariat Nabi Muhammad s.a.w, membentuk akhlakmu, membendung nafsu amarahmu, sesungguhnya akan berbahagialah kamu.

CopyRight @ http://www.epustaka.com

No comments: